Sunday, 3 June 2012

ARTIKEL 1

  Disediakan Oleh : Mazni binti Mohamed


Journal of Science and Mathematics Educational, volume 2 Jun 2011, Pages 1-17/ISSN:2231-7368

PENGINTEGRASIAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK  DI KALANGAN GURU MATEMATIK DI DAERAH KOTA TINGGI.

PENGENALAN

Artikel ini adalah hasil penulisan Md. Nor Bakar dan Rashita A. Hadi Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Kajian di dijalankan bagi mengetahui tahap pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik di kalangan guru Matematik. Tiga aspek telah dikaji bagi menjawab persoalan kajian ini iaitu tahap pengintegrasian ICT di kalangan guru Matematik, kesesuaian kursus ICT yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah kepada guru Matematik dan faktor-faktor yang menjadi penghalang kepada pengintegrasian komputer di kalangan guru Matematik.


KRITIKAN.

Merujuk kepada jurnal, tajuk yang dipilih adalah ringkas dan padat serta menggambarkan apa yang dikaji oleh penulis. Selain itu format tajuk ditulis dengan betul dimulai dengan ketua penulis diikuti nama institusi begitu juga bagi penulis kedua. Abstrak jurnal ini di tulis dengan padat dan ringkas di mana ianya tidak melebihi 200 perkataan. Selain itu di dalam abstrak terdapat tujuan dan tumpuan kajian, kaedah kajian serta penemuan atau hasil kajian serta turut dinyatakan kesimpulan dan rumusan penting kajian. Di samping itu abstrak turut diberikan dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan disertakan tiga kata kunci dengan format Normal, bersaiz 10 dan Justified yang diletakkan selepas abstrak. Kegunaan kata kunci ialah bertujuan untuk memudahkan pencarian maklumat. Manuskrip jurnal mengandungi bahagian-bahagian penting seperti Pengenalan, Kaedah, Keputusan, Perbincangan dan Rumusan tetapi tidak mengandungi Tinjauan Penulisan.Penulis memaparkan jadual-jadual yang berkaitan kajian dengan lengkap dan jelas.

Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di lihat dari dua aspek iaitu aspek pengajaran ianya digunakan sebagai alat persembahan dan demonstrasi manakala dari aspek pembelajaran ianya digunakan sebagai tutorial,latih tubi, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Kementerian Pelajaran telah membekalkan pelbagai kemudahan kepada guru-guru bagi tujuan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun daripada kajian yang telah dijalankan didapati penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik masih pada tahap yang rendah. Di antara halangan yang dikenalpasti ialah guru kurang pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Selain itu kursus-kursus ICT di kalangan guru-guru Matematik adalah amat terhad sedangkan pelbagai kaedah komputer dapat digunakan dalam mata pelajaran ini.
Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap guru melaksanakan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik, mengenalpasti kesesuaian kursus pembangunan profesionalisme berkaitan dengan bidang ICT yang ditawarkan kepada guru Matematik oleh pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah dan mengenalpasti masalah yang menjadi halangan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik

Metodologi kajian yang digunakan ialah gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif di mana pengkaji menggunakan soal selidik dan temubual berstruktur. Bilangan sampel yang dipilih secara persampelan rawak ialah 30 orang bagi menjawab soal selidik , 3 orang daripada 30 orang tersebut dan 15 orang penyelaras makmal computer di pilih untuk temubual berstruktur. Responden dipilih daripada beberapa buah sekolah di daerah Kota Tinggi, Johor.

Daripada kajian yang dijalankan didapati guru-guru jarang menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dan masih cenderung menggunakan kaedah pengajaran secara tradisional.Antara halangan yang dihadapi oleh guru ialah bilangan komputer yang tidak mencukupi, gangguan talian internet, masa pengajaran yang tidak mencukupi, kurang bantuan teknikal, kurang kemahiran ICT.


  Hasil dapatan ini sebahagiannya menyamai dapatan kajian yang dijalankan oleh Jones (2004). Penulis mendapati bahawa tujuh halangan yang wujud semasa pengintegrasian ICT dalam pengajaran ialah guru kurang berkeyakinan semasa pengintegrasian (21.2% responden), kurang capaian terhadap sumber (20.8%), kekurangan masa untuk membuat pengintegrasian (16.4%), kurang latihan yang efektif (15.0%), menghadapi masalah teknikal semasa perisian digunakan (13.3%), kurang capaian individu semasa penyediaan bahan pengajaran (4.9%) dan usia guru (1.8%).



Kesimpulannya, penggunaan ICT yang rendah dalam pengajaran dan pembelajaran bukanlah disebabkan faktor dalaman guru-guru tetapi disebabkan faktor luaran seperti kemudahan yang tidak sempurna, kekurangan latihan serta perkhidmatan dan bantuan teknikal yang kurang memuaskan.

ARTIKEL 2


Penggunaan Koswer PPSMI Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Di Kalangan Guru-Guru Matematik Di Empat Buah Sekolah Kebangsaan Di Seremban.


PENGENALAN


Kajian ini telah dijalankan oleh Abdul Razak Bin Idris dan Saidanorlaili Binti Ali Fakulti Pendidikan Univeristi Teknologi Malaysia. Objektif kajian ini ialah mengenalpasti tahap penggunaan koswer PPSMI dalam P&P matematik di kalanganguru-guru Matematik, mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan koswer PPSMI dalam P&P matematik di kalangan guru-guru Matematik dan mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru Matematik apabila menggunakan koswer PPSMI dalam P&P matematik.

KRITIKAN

Kementerian Pelajaran Malaysia telah membekalkan koswer PPSMI bagi pengajaran Matematik bermula pada tahun 2003 bagi membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Merujuk kepada jurnal tajuknya dapat memberikan gambaran tentang yang kajian yang dijalankan. Format penulisan adalah tepat, dimulai dengan ketua penulis diikuti nama institusi begitu juga bagi penulis kedua.  Abstrak jurnal ini di tulis dengan  padat dan ringkas di mana ianya tidak melebihi 200 perkataan. Di dalam abstrak terdapat tujuan dan tumpuan kajian,  kaedah kajian serta penemuan atau hasil kajian serta  turut dinyatakan kesimpulan dan rumusan penting kajian. Di samping itu abstrak turut diberikan dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris  dan disertakan tiga  kata kunci dengan format  Normal, bersaiz 10 dan Justified yang diletakkan selepas abstrak. Penulisan ilmiah  mengandungi bahagian-bahagian  dan bab-bab penting yang terdiri daripada Pengenalan, Kaedah, Keputusan, Perbincangan  dan Rumusan tetapi tidak mengandungi Tinjauan Penulisan.

Kajian yang dijalankan adalah berbentuk deskriptif  dengan menggunakan soal selidik bagi mendapatkan data. Sampel kajian terdiri daripada 40 orang guru Matematik dari empat buah sekolah di Seremban. Instrument kajian yang digunakan ialah satu set soal selidik yang terdiri dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A adalah maklumat peribadi guru seperti bangsa, jantina, umur, kelulusan akademik, keputusan Bahasa Inggeris peringkat SPM, pengalaman mengajar dan juga kursus ETeMS. Manakala Bahagian B adalah penyataan soal selidik yang berkaitan dengan penggunaan koswer PPSMI dalam P&P matematik, faktor-faktor yang mendorong guru-guru matematikmenggunakan koswer dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru apabila menggunakan koswer tersebut.

Dapatan kajian  menunjukkan kebanyakan guru telah mengikuti kursus berkaitan pengendalian koswer seperti  Kursus Orientasi Kurikulum Sains dan Matematik bagi sekolah rendah dan menengah, latihan profisiensi bahasa Inggerismelalui Kursus 2 Days On-Site dan 5 Days Full Immersion dan Latihan ICT untuk pengoperasian perkakasan notebook dan LCD. Kursus-kursus amat membantu guru dalam penggunaan koswer. Namun terdapat beberapa masalah yang dihadapi guru seperti masalah pengendalian peralatan ICT dan pengajaran Matematik sukar diikuti oleh pelajar kerana kandungan koswer yang tidak mesra pengguna. Kesimpulannya kebanyakan guru di empat sekolah di Seremban menggunakan koswer tetapi tahap penggunaannya adalah sederhana.

ARTIKEL 3

Di Sediakan Oleh : Rumaizah binti Omar


www.ukm.my/.../JPendidikan32/Jpend32[09].pdf

ICT dalam Pendidikan:
Prospek dan Cabaran dalam Pembaharuan Pedagogi


PENGENALAN

Jurnal pendidikan ini adalah hasil penulisan Robiah Sidin dan Nor Sakinah Mohamad di dalam Jurnal Pendidikan 32 (2007) 139-152. Tujuan Kajian ini dibuat untuk mengenal pasti satu kaedah mengajar yang sesuai untuk mempromosikan budaya dan kemahiran ICT di kalangan pelajar sekolah. Ia dianggap sebagai alternatif untuk kaedah tradisional yang berpusatkan guru.. Satu kajian kuasi eksperimen telah dilakukan untuk melihat kesan pencapaian ke atas pembelajaran subjek komputer yang diajar dengan kaedah perantis (pendekatan konstruktivisme) berbanding dengan kaedah tradisional (pendekatan tingkah laku)

KRITIKAN

Dalam era globalisasi yang berpaksikan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan pembudayaan dan penguasaan ICT di kalangan pelajar. Perubahan harus berlaku dalam sistem mengajar dan belajar di bilik-bilik darjah yang mana pendekatan konstruktivisme adalah digalakkan kerana ia dapat memupuk minat serta menggalakkan pelajar lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran di samping menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat.

Kajian yang menggunakan pengajaran berunsurkan pendekatan konstruktivisme telah dijalankan di sebuah sekolah di Bentong, Pahang. Kajian ini dibuat untuk mengenal pasti satu kaedah mengajar yang sesuai untuk mempromosikan budaya dan kemahiran ICT di kalangan pelajar sekolah. Eksperimen ini melibatkan dua kumpulan pelajar yang homogenus iaitu kumpulan rawatan diajar subjek literasi komputer bertajuk pembinaan laman web, mengikut kaedah perantis, manakala kumpulan kawalan ialah kumpulan pelajar diajar dengan kaedah tradisional yang banyak menjurus kepada prinsip-prinsip tingkah laku iaitu pelajar diberi nota serta menjalankan langkah-langkah yang diberikan oleh guru satu persatu. Kajian kuasi eksperimen ini dilakukan di dua buah kelas tingkatan dua di sebuah sekolah menengah. Tajuk pengajaran yang dipilih ialah pembinaan laman web dalam subjek literasi komputer. Kumpulan kawalan terdiri daripada 24 orang yang diajar dengan kaedah tradisional, manakala kumpulan rawatan pula terdiri dari 25 orang yang diajar dengan kaedah perantis

Merujuk kepada jurnal, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan ke atas pencapaian pelajar yang diajar dengan dua kaedah ini. Hasil tugasan pelajar yang diajar dengan kaedah perantis adalah lebih baik dari sudut reka bentuk, susun atur, pilihan warna serta semua pautannya berfungsi.

Justeru, penyelidik mengesyorkan agar perubahan dibuat dalam sistem pedagogi agar konsisten dengan teori pembelajaran konstruktivisme dan diterapkan semasa latihan perguruan lagi. Penyelidikan yang menyeluruh dan berterusan juga perlu dibuat terhadap keberkesanan pendekatan konstruktivisme agar kesan pembudayaan ICT di kalangan generasi muda berlaku secara berkesan dan berpanjangan.

Bilangan perkataan yang digunakan  tidak terlalu panjang serta mudah untuk difahami, ringkas dan bermaklumat. Tajuk yang panjang terlalu bersifat ‘deskriptif’dan tidak perlu sama sekali (Ahmad Mahdzan Ayob,1985). Penyelidik hanya memperkenalkan nama  tetapi tidak menyatakan butiran fakulti dan institusi.

Sebagai kesimpulannya, jurnal ini ditulis secara akademik. Penulis berpendapat penulisan dan kajian yang dibuat amat menarik dan boleh menggalakkan para penyelidik akan datang meneruskan kesinambungannya bagi melihat kesahihan hubungan di antara pengintegrasian ICT dengan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembaca dapat memahami penulisan tersebut melalui jalan cerita yang baik. Idea utama yang ingin disampaikan iaitu untuk melihat kesan pencapaian ke atas pembelajaran subjek komputer yang diajar dengan kaedah perantis (pendekatan konstruktivisme) berbanding dengan kaedah tradisional (pendekatan tingkah laku)  melalui kuasi eksperimen.  Jurnal tersebut mempunyai perkara-perkara berikut: i. Nama Jurnal ii. Tajuk Artikel iii. Ada bilangan/volume iv. Ada tahun terbit v. Ada halaman.

ARTIKEL 4

Di sediakan Oleh ;
Zanariah binti Mohd Idris

ARTIKEL 5

Disediakan Oleh :
Zanariah binti Mohd Idris

Saturday, 2 June 2012

KAJIAN TINJAUAN 2

Friday, 1 June 2012

PENGGUNAAN TEKNOLOGI DAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENDAHULUAN

Esei ini membincangkan kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia pendidikan pada alaf ini. Sebagai guru yang berdepan dengan ledakan maklumat dalam dunia tanpa sempadan ini kita perlu melangkah sederap dengan kemajuan dan kecanggihan ilmu serta teknologi sebagai langkah awal demi menggalas amanah dan tanggungjawab terhadap bangsa dalam membina negara bangsa yang mampu berdiri gah di persada dunia.
Penguasaan ICT dapat membantu guru menghadapi ranjau dan cabaran dalam dunia pendidikan dan bertindak tepat dengan kehendak semasa.
Fungsi guru sebagai egen perubahan sosial dapat memenuhi permintaan masyarakat setempat melalui ilmu dan kemahiran yang dimiliki seterusnya menjadi rujukan dan idola dalam masyarakat. Kemahiran guru dalam bidang ICT dapat membantu pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran dan ilmu yang bersesuaian dengan minat, bakat serta potensi pelajar sekaligus dapat menanam rasa cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan cemerlang berminda kelas pertama sebagaimana yang digarapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Tanggungjawab ini sememangnya terpikul atas bahu para guru yang komited dengan tugas serta bersedia dan sanggup menerima perubahan mengikut peredaran masa. Semua ini menuntut pengorbanan yang besar dari kalangan guru-guru untuk terus menambah ilmu dan kemahiran, bertepatan dan bersesuaian dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Mengapa Penggunaan ICT Diperlukan
1) Meningkatkan kefahaman sesuatu konsep, memberi gambaran visual dan memudahkan     
     pengiraan kompleks.
2)  Merangsang murid untuk belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimum.
3)  Membantu murid dalam proses penyelesaian masalah dan komunikasi dengan lebih cepat
     dan tepat.
4) Mewujudkan peluang pembelajaran yang sama kepada murid yang mempunyai pelbagai
     kebolehan dan kecerdasan.
5) Membantu murid mendapat dan mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh  
    dalam keadaan biasa
6)  Mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok, mencabar dan berbentuk penerokaan.
7)  Memupuk sifat ingin tahu dan ingin mencuba di kalangan murid.
8)  Meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan imaginasi murid.
9)  Menggalakkan murid merealisasikan:
     -  Pembelajaran terarah kendiri
     -  Pembelajaran akses kendiri

 Dasar Pembangunan Negara dalam Rancangan Malaysia Kelapan (2001 – 2005) menegaskan kepentingan membangunkan dan memperluaskan penggunaan teknologi maklumat dalam pembangunan pendidikan. Langkah ini bertujuan merancakkan pertumbuhan, melatih profesional, meningkatkan produktiviti, memodenkan pengurusan teknologi maklumat dan pengetahuan, mengurangi jurang digital, dan mempastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada ICT.
Sektor pendidikan menjadi agen perubahan bagi mempertingkatkan kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan generasi muda. Keperluan terhadap penggunaan ICT dalam pendidikan amat dirasai kerana ICT telah menjadikan dunia pendidikan sebagai hak milik pelbagai lapisan masyarakat di mana pelbagai maklumat dan sumber pendidikan dapat dicapai walau di mana jua berada. Pengaruh dan kemajuan era ICT mencetuskan inovasi dalam pengurusan pendidikan, penilaian, serta pengajaran dan pembelajaran.
Kewujudan masyarakat berpendidikan yang terbentuk melalui pembudayaan komputer, internet, dan multimedia menzahirkan kewujudan masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan. Bangsa yang maju adalah bagsa yang mementingkan perkembangan intelektual yang dirintis oleh kemajuan dunia pendidikan. Dalam konteks ini teknologi maklumat berperanan untuk meluaskan penyebaran pemikiran manusia sebagai agen revolusi sosial.
Menurut Mohamed Rashid dan Mohd Nasir (2003) dalam kajian “Refleksi Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran menyatakan bahawa pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran dalaman dan luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Pembaharuan pendidikan dari segi pengajaran-pembelajaran, sistem pengurusan pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan memberikan cabaran baharu kepada sistem pendidikan.





ISU 1

FAKTOR GURU
i) Persepsi guru terhadap kepentingan komputer
Walaupun ramai guru yang telah bersedia dengan perubahan penggunaan komputer di dalam pengajaran tetapi masih ada guru yang lebih selesa menggunakan kaedah konvensional relevan dengan sistem peperiksaan. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan dengan berkesan.

ii) Kerisauan untuk menghadapai perubahan.
- Terdapat tiga jenis kerisauan yang dihadapai oleh guru-guru dalam penggunaan komputer   iaitu:-
1. Risau sekiranya rosak apabila menggunakan peralatan tersebut.
2. Risau kerana merasakan mereka tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi.
3. Risau sekiranya disuruh oleh sekolah untuk melakukan semua kerja kerana mahir dalam          penggunaan komputer.

iii) Masa dan beban tugas guru
- Penggunaan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru menyediakannya. Persediakan diperlukan termasuk dari aspek penyediaan bahan mengajar serta setup bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. dengan bilangan waktu mengajar yang banyak, sesetengah guru mempunyai bilangan waktu mengajar sebanyak 27 waktu seminggu, sukar bagi guru untuk membuat persediaan mengajar dan juga untuk setup bahan mengajar dimakmal komputer. Guru-guru juga mempunyai tugas-tugas lain seperti menjadi setiausaha peperiksaan, guru data, ketua-ketua panitia, Ajk PIBG dan sebagainya. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk membuat persediaan yang mantap jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri dalam pengajaran.
Menurut Mazniza Muhamad(2004) kebanyakan guru-guru sedar tentang kelebihan menggunakan komputer tetapi kurang menggunakannya kerana kekangan masa, masalah penyelenggaraan dan kemahiran. Kesuntukan masa menggunakan  ICT oleh guru-guru menjadi penghalang  manakala sikap positif, keyakinan diri dan kemahiran  menggunakan ICT menjadi  pendorong perlaksanaannya dalam penngajaran dan pembelajaran. (IAB, 2008).


iv) Kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan penggunaan komputer dalam P&P
-Proses pengajaran memperalatkan ICT menuntut guru berkemahiran dalam membina persembahan dan mengintegrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan Powerpoint dengan input-input seperti rakaman suara, memasukan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru. Oleh kerana tidak semua bahan pengajaran tersedia untuk digunakan terus, maka guru dikehendaki menyediakan bahan pengajaran yang lebih menarik, tetapi keinginan guru untuk menambahbaikan bahan P & P hanya tinggal sebagai kemahuan saja kerana guru-guru kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan menggunakan komputer dalam P & P. Tambahan lagi, penggunaan komputer oleh guru adalah pada tahap yang minima sahaja iaitu sekali sekala dalam masa sebulan. Selain daripada itu, guru-guru kerap menggunakan hanya satu program sahaja iaitu pemprosesan perkataan. Guru-guru jarang menggunakan pangkalan data, persembahan mutimedia, persembahan grafik, mel elektronik dan laman web dalam pengajaran.


ISU 2

 FAKTOR SEKOLAH

Peranan dan sikap pengetua
- Sikap pihak pengurusan sekolah (pengetua/guru besar,penolong kanan) adalah kritikal terhadap pembentukan dasar dan amalam diperingkat sekolah. Mereka adalah penggerak yang boleh memotivasikan setiap guru supaya menpunyai misi dan objektif yang sama untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolah. Pengetua atau pentadbir yang tidak prihatin akan keperluan masa hadapan akan menyebabkan organisasi pendidikan ketinggalan.
Melalui enam isu dan enam cabaran berkenaan guru dalam menggunakan teknologi instruksional di sekolah ini dapatlah disimpulkan pula lapan cadangan bagi merealisasikan hasrat membudayakan penggunaan teknologi instruksional dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
1). Membuat pemilihan kajian tindakan berdasarkan bahan pengajaran teknologi  
      instruksional di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
2. Bahan terbaik diperingkat kebangsaan akan dikumpulkan melalui CD dan disebarkan
   diseluruh negara.
3. Mewajibkan bakal guru di universiti mengambil dua atau tiga kertas berkaitan komputer
    sebagai subjek teras.
4. Mengutamakan kursus latihan dalam perkhidmatan (LADAP) yang berkaitan teknologi
    instruksional.
5. Mewujudkan sikap positif jangka panjang guru terhadap teknologi instruksional melalui
    motivasi intrinsik.
6. Guru sendiri hendaklah berperanan dan rasa bertanggungjawab untuk menyediakan
    keperluan teknologi instruksional.
7. Pentadbir menggunakan sebahagian besar pengurusan dan pentadbiran sekolah
    menggunakan teknologi maklumat.
8. Kurikulum bagi melahirkan guru hendaklah lebih mengutamakan teknologi instruksional
    berbanding pedagogi.

Sistem Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan.

Disebabkan penekanan kepada pencapaian di dalam periksaan guru-guru diarahkan memberikan latihan sebanyak yang mungkin kepada pelajar-pelajar. Buku latihan pelajar-pelajar akan dipantau dari masa ke semasa oleh pihak pentadbir sekolah bagi memastikan guru menjalankan arahan yang diberikan. Penekanan kepada pemantauan buku latihan yang dibuat oleh pelajar menyebabkan guru tidak berminat menggunakan perisian di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan kaedah biasa seperti buku latihan dan buku aktiviti lebih disukai oleh guru-guru berbanding dengan memberikan latihan melalui penggunaan ICT kerana buku-buku tersebut menjadi bukti perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran sebagaimana yang di arahkan oleh pentadbir sekolah.
Penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan menyebabkan guru-guru mengabaikan aspek lain seperti pengajaran menggunakan ICT. Peperiksaan dianggap perkara yang sangat penting samada oleh guru , pelajar dan ibubapa. Peperiksaan dianggap sebagai penanda aras dan kayu pengukur kepada kebolehan dan kemampuan pelajar. Media massa turut memainkan peranan dengan menghebahkan pencapaian pelajar dan sekolah. Ini menyebabkan timbulnya budaya  atau fenomena berikut:
·       Mengajar dan belajar untuk peperiksaan.
Guru hanya memfokuskan kepada isi kandungan dan kemahiran yang akan dinilai di dalam peperiksaan. Pelajar diajar untuk mengingati model jawapan. Guru akan memberikan  latihan secara berterusan hingga mengabaikan kaedah pengajaran menggunakan ICT yang dianggap mengambil masa semasa hendak memulakan pengajaran dan pembelajaran.
·       Menghabiskan sukatan pelajaran seberapa segera.
Guru akan berusaha bersungguh-sungguh menghabiskan sukatan pelajaran dengan secepat mungkin dengan harapan masih mempunyai masa memberikan soalan latih tubi bagi persediaan pelajar menghadapi peperiksaan hingga ada masanya guru sekadar ‘ menunjuk dan memberitahu’ sesuatu konsep matematik tanpa memberi peluang atau kesempatan pelajar memahami konsep tersebut.

·       Pembelajaran yang lumpuh.
Istilah ini diutarakan oleh bekas Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran , Tan Sri Wan Zahid Nordin. Menurut beliau pelajar Malaysia antara pelajar paling menderita disebabkan sistem yang berasaskan peperiksaan. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang berkemungkinan mengeluarkan apa yang dipelajari tanpa memahami konsep-konsep penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian


ISU 3

KEKURANGAN PRASARANA DAN BAHAN SOKONGAN

Satu cabaran penting pendidikan di sekolah ialah menyediakan kemudahan prasarana dan bahan sokongan untuk guru dan semua pelajar. Ini bermakna kemudahan ini tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja tetapi melibatkan keseluruhan warga sekolah tanpa mengira status ekonomi, sosial, kaum dan sebagainya.       

1.     Bilangan komputer di sekolah jauh lebih rendah daripada bilangan pelajar

Bilangan komputer yang disalurkan bagi sesebuah sekolah masih tidak mencukupi untuk memaksimumkan penggunaan komputer sebagai medium pengajaran bagi para pelajar. Bilik komputer di sekolah digunakan untuk mempelajari sesuatu yang memang memerlukan penggunaan komputer dan hanya boleh digunakan oleh sebilangan kecil pelajar sahaja dalam satu-satu masa. Justeru itu kebiasaannya penggunaan ICT dalam pengajaran hanya terfokus kepada sesuatu mata pelajaran dan dalam masa-masa yang tertentu sahaja. Ini sebenarnya tidak sesuai seperti yang dirancangkan iaitu penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran setiap masa. Program Pengkomputeran sekolah semakin diberi perhatian kerana untuk memberi peluang kepada pelajar sekolah supaya mereka dapat menguasai pengetahuan asas ICT di peringkat sekolah. Berbekal dengan pengetahuan asas ICT para pelajar akan dapat berdepan dengan kehendak dan cabaran kerjaya mereka dalam abad ke 21. Walaupun hampir semua sekolah di Malaysia ini dibekalkan makmal komputer, namun pelajar tidak dapat akses kepada komputer secara menyeluruh kerana bilangan komputer yang dibekalkan jauh lebih rendah daripada bilangan pelajar dalam sesebuah kelas. Bilangan komputer yang boleh digunakan seringkali terhad disebabkan oleh kerosakan teknikal yang dialami menambahkan kadar pengguna komputer bertambah sehingga 4 atau 5 orang murid terpaksa berkongsi satu unit komputer semasa pengajaran dijalankan. Ini juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran.




2.     Pembekalan yang tidak berkualiti

Mutu peralatan ICT yang rendah boleh mengganggu proses penggunaan ICT dalam pengajaran. Ramai guru menyatakan komputer yang dibekalkan tidak berkualiti dan adanya yang sudah ketinggalan zaman. Ini ditambah lagi dengan cepatnya perkembangan teknologi komputer. Oleh itu komputer hendaklah dipastikan dari segi kualiti dan diletakkan di tempat-tempat yang sesuai dan boleh dicapai oleh semua orang, termasuk guru dan pelajar-pelajar. Di samping itu, terdapat kekangan dari segi sistem selenggaraan komputer yang tidak cekap di sekolah

3.     Masalah penyenggaraan makmal komputer di sekolah


Makmal komputer di sekolah sememangya menghadapi masalah dari segi penyenggaraan. Banyak makmal di sekolah tidak terurus kerana tidak ada kepakaran dari segi penyenggaraan. Walaupun kerajaan telah melantik juruteknik komputer di setiap daerah, tetapi masalah ini masih tidak dapat diselesaikan. Perkakasan dan perisian komputer yang terdapat di dalam makmal memerlukan penyelenggaraan sentiasa untuk mengelakkannya daripada mudah rosak. Memandangkan makmal komputer tidak mempunyai pembantu makmal sebagaimana makmal sains yang mempunyai pembantu makmalnya sendiri, maka kerja-kerja penyelenggaraan buat masa sekarang terletak di bahu guru teknologi maklumat itu sendiri. Ini bermakna beban tugas guru teknologi maklumat semakin bertambah.Kerja-kerja penyenggaraan ini mengambil banyak masa guru sekiranya terdapat kerosakan ke atas sesebuah komputer. Kadang-kala terdapat juga kalangan guru teknologi maklumat yang kurang mempunyai kemahiran menyenggarakan komputer. Ini bermakna sebarang kerosakan pada komputer perlu merujuk kepada pihak luar. Kaedah ini biasanya memakan belanja yang besar dan proses P&P juga terganggu. Dukacita yang amat sangat kerana kerajaan telah membelanjakan banyak peruntukkan untuk membangunkan ICT di sekolah tetapi dari segi penyenggaraannya terabai.

4.     Perisian komputer


Alat ICT yang selalu digunakan untuk pembelajaran tutorial ialah komputer dan perisian pendidikan sama ada yang disimpan di dalam CD-ROM, cakera keras ataupun laman web. Perubahan ini seiring dengan perkembangan yang berlaku dalam rekabentuk perisian pendidikan yang berciri kecerdasan. Ciri ini melahirkan perisian pendidikan yang berupaya menyesuai maklumat yang disampai dengan kemampuan dan keperluan pelajar. Dengan perkembangan ICT, perisian kursus yang terdapat pada hari ini hampir semuanya berciri multimedia. Secara umum, setiap perisian pendidikan mengandungi satu atau lebih daripada komponen.:Bagaimanapun, pendidik harus berhati-hati dalam melaksana pendekatan ini. Kesilapan dalam memberikan pertimbangan boleh mengakibat pembaziran masa dan tenaga, menghalang penggunaan kemudahan ICT yang lebih produktif menjurus ke arah penyalahgunaan kemudahan ICT, mengakibat lebih banyak masa diperlu oleh pelajar untuk mempelajari sesuatu . Untuk tujuan ini, guru perlu terlebih dahulu menilai setiap perisian pendidikan yang hendak diguna oleh pelajar. Setelah pasti benar-benar wujud keperluan, guru hendaklah merancang penggunaan ICT, bukan dibuat secara bidan terjun.


Cadangan mengatasi Kekurangan Prasarana dan Bahan Sokongan
Pihak sekolah perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara iaitu
·                 memperbaiki infrastruktur komunikasi dan multimedia seperti kemudahan komputer, lebar jalur tinggi yang bersepadu dan sambungan Internet serta makmal komputer.
·                 meningkatkan infrastruktur seperti rangkaian, kandungan tempatan, insentif dan perundangan untuk membentuk persekitaran yang membolehkan penyediaan infrastruktur.
·                 wujudkan jaringan kerjasama antara panitia atau sekolah dalam PPD
·                 sediakan peruntukan yang sesuai untuk menyediakan teknologi komputer terkini.
·                 wujudkan prasarana ICT yang sesuai untuk pembelajaran
·                 pihak pentadbir perlu memberi dorongan kepada guru untuk membina bahan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi pihak KPM pula perlu memberi fokus beberapa perkara iaitu
·                 menyelenggara peralatan dan perkakasan ICT secara intensif dan bersepadu.
·                 menyediakan infrastruktur ICT yang bersepadu dan berterusan di luar bandar dan pedalaman.
·                 menyediakan kemudahan bangunan institusi pendidikan mengikut piawai berasaskan keperluan dan kesesuaian
·                 memastikan kemudahan fizikal bangunan pendidikan diselenggara untuk memenuhi piawai, keperluan dan kesesuaian
·                 memastikan bekalan air bersih dan elektrik di semua sekolah.

ISU 4

JURANG ICT DAN DIGITAL
Jurang digital bermaksud terdapatnya jurang di antara satu komuniti dengan komuniti yang lain di dalam mengakses kepada ICT, mencapai maklumat melalui ICT serta memahami dan menggunakan maklumat dari ICT. Faktor yang menyebabkan jurang digital ialah
-        Faktor ekonomi, iaitu tidak mampu untuk membeli dan mendapatkan khidmat ICT.
-        Faktor Geografi,iaitu tempat tiada liputan internet dan bekalan elektrik
-        Faktor Kemahiran Komputer iaitu tidak mengetahui bagaimana untuk mengakses maklumat
-        Faktor Kemahiran Bahasa Dan Literasi iaitu tidak dapat membaca dan memahami bahasa internet dengan baik

Pelbagai inisiatif dijalankan untuk merapatkan jurang digital di negara kita. Inisiatif-inisiatif ini datangnya daripada pelbagai pihak dan berperanan untuk memperkasa komuniti dan menjana ilmu dalam melalui usaha menyeberangi jurang teknologi dan jurang minda. Inisiatif merapatkan jurang digital di Malaysia adalah bertujuan untuk mewujudkan jalinan pengetahuan secara digital serta memperkasa masyarakat di dalam bidang ekonomi, sosial dan akses kepada informasi dalam membantu masyarakat menjadi lebih berpengetahuan.
Ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat terutama dan segi ekonomi, pendapatan, pendidikan, kemudahan infrastruktur. pemodenan dan sebagainya akan memberi kesan terhadap kemajuan ICT dan digital. Sekolah, pendidikan dan profesion keguruan di negara ini perlu memainkan peranan yang konstruktif bagi menangani jurang ICT dan digital yang berlaku, terutama di luar bandar dan di kalangan kaum. Sekolah dan profesion keguruan perlu memberikan perhatian serius bagi merapatkan jurang perbezaan ICT dan digital dengan meningkatkan program pendidikan ICT dan memperluaskan peluang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital, khususnya di kalangan pelajar miskin dan luar bandar.




ISU 5

PENYALAHGUNAAN MAKMAL KOMPUTER DAN INTERNET PERCUMA
Guru-guru dan pelajar didapati menyalahgunakan kemudahan internet di sekolah untuk melayari laman-laman web yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti laman sosial Myspace, Friendster dan sebagainya. Selain daripada portal-portal sosial, permainan komputer atas talian(Online Games) turut menjadi kegilaan pelajar sekolah masa kini. Penyalahgunaan seperti ini dibimbangi mampu meningkatkan jenayah internet yang sukar dikawal. Memandangkan internet telah menjadi keperluan utama, melarang mereka daripada menggunakan internet amatlah tidak wajar. Namun, langkah-langkah pemantauan amatlah berkesan dalam mengatasi masalah ini. Selain itu, di sekolah juga pemantauan haruslah dilakukan oleh guru-guru yang bertugas, memandangkan proses pembelajaran dan pengajaran sekarang banyak menggunakan internet. Selain itu, nilai-nilai murni juga wajar diterapkan di dalam minda pelajar bagi mengelakkan masalah ini daripada bertambah teruk. Pelajar sekolah hari ini adalah antara pengguna internet di Malaysia. Penyalahgunaan internet dikalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan dewasa ini terutamanya membabitkan pelayaran laman web berunsur lucah yang turut menjadi kegilaan pelajar masakini.




KESIMPULAN

Harapan Negara untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran pada masa depan boleh dicapai melalui kurikulum pembelajaran berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa dikemas kini. Justeru itu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Penggunaan ICT dalam pembelajaran adalah prasyarat bagi Malaysia untuk menjadi Negara yang berpendapatan tinggi. Namun, kerajaan Malaysia khasnya Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berusaha mengatasi masalah-masalah yang timbul.